Penulis: Nadia Nazri

3 Strategi Bisnes Fasa Kedua 1

#1- Bulatan Sosial

3 Strategi Bisnes Fasa Kedua 2

Setiap usahawan
perlu bergaul dan membina hubungan yang baik dalam lingkungan bulatan niaganya.
Selain menjaga hubungan dengan pelanggan, hubungan baik juga perlu dijalinkan
sesama usahawan yang lain. Hatta anda seorang yang ‘introvert’ dan kurang gemar
bersosial, namun anda harus bersikap ramah dan terbuka apabila berkaitan dengan
hal bisnes.

Jika anda
pengguna LinkedIn, anda pasti tahu ruangan ‘endorsement’. Ini adalah ruangan di
mana anda boleh mempamerkan kemahiran anda dan rakan-rakan LinkedIn anda boleh
mengiktiraf kemahiran anda sekiranya mereka bersetuju. Sudah pasti kenalan
LinkedIn yang baharu akan melihat ruangan ini sebagai asas untuk menilai anda
sebelum menjadikan anda sebagai rakan sosial mereka.

Untuk membina
empayar bisnes yang kukuh, banyakkan kenalan niaga agar anda akan mendapat
banyak informasi. Mereka juga akan membuka lebih banyak peluang bisnes kepada
anda melalui saranan mulut ke mulut dan rekomendasi. Sememangnya, dalam bisnes
kita ada banyak lawan dan pesaing, namun tidak bermakna kita harus bermusuh.

Belajarlah
daripada orang Cina yang tetap berkawan baik walaupun berniaga barangan yang
sama di kedai yang bersebelahan. Sama juga seperti usahawan kosmetik terkenal
seperti Dato’ Alif Syukri, Dato’ Vida,  Erni Dekritawati anak kepada pengasas Nouvelles,
walaupun mereka bersaing sengit antara satu sama lain namun mereka akrab dan
sering bertukar pandangan. Itu ‘level’ usahawan yang sudah mencecah pendapatan
jutaan ringgit.

Anda? Jika mahu
bermula, belum cecah pun lagi satu juta pertama pendapatan bersih bulanan, jangan
meyombong, jangan acah-acah ‘Orang Kaya Baru’ dan layan semua orang dalam
lingkungan bisnes anda termasuklah pelanggan, rakan niaga, rakan sosial dan pekerja dengan baik.

#2- Sasarkan Target Kelompok Pembeli

3 Strategi Bisnes Fasa Kedua 3

Sebelum
mengenali pelanggan, terlebih dahulu kenalilah produk anda sendiri. Daripada
situ anda akan tahu bagaimana untuk mencari pelanggan yang tepat. Tak semua
produk sesuai untuk semua orang. Jadilah usahawan yang bijak dengan mensasarkan
promosi dan pemasaran kepada kelompok tertentu yang anda telah kenal pasti.

Pembeli yang
dapat menyelesaikan masalahnya dengan menggunakan produk anda dengan pasti amat
menghargai produk anda dan pasti akan mengesyorkannya kepada orang lain yang
turut mengalami masalah yang sama. Nah! Anda sudah mendapat bantuan promosi
percuma di situ dan promosi dari mulut ke mulut ini kadang-kadang lebih
berkesan dan boleh jadi lebih viral daripada iklan di platform media. Pikat
mereka dengan keperluan dan kehendak mereka sendiri.

Contohnya, pastikan
produk anda senang untuk dipakai serta menjimatkan masa pengguna dan ini pasti
disukai ramai kerana jika pelanggan sasar anda adalah kelompok yang bekerjaya
dan sentiasa sibuk, pasti mereka sangat menghargai masa dan produk anda adalah
solusi tepat kepada keperluan dan kehendak mereka.

Pastikan produk
anda betul-betul bagus bukan sekadar tangkap muat untuk mencari keuntungan
kerana produk yang tidak berkualiti juga akan jadi bualan yang hangat dan
menjejaskan anda dan bisnes anda sendiri dalam jangka masa yang lama.

#3-Pelbagaikan Strategi Jualan

3 Strategi Bisnes Fasa Kedua 4

Sudah tentu,
setiap manusia menyukai nilai-nilai positif seperti kebaikan, kecantikan dan
lain-lain hatta orang jahat sekalipun turut menyukai perkara yang baik secara
lumrahnya. Selain menggunakan pelbagai teknik promosi dan pemasaran, sebagai
usahawan, anda juga harus mengetengahkan nilai positif dalam bisnes seperti
syarikat-syarikat korporat gergasi.

Contohnya,
syarikat H&M memberikan diskaun kepada setiap pembelian anda sekiranya anda
mengitar semula pakaian lama anda dengan mereka. Jika anda berniaga makanan dan
minuman, pastikan produk anda dibungkus dengan bungkusan yang mesra alam
sekitar dan mudah lupus berbanding plastik biasa. Berbanding ‘straw’ plastik
anda boleh bertukar kepada ‘straw’ kertas dan mengajak pembeli untuk berbuat
baik kepada alam sekitar agar bumi kekal hijau.

Anda juga boleh bantu mereka untuk bersedekah,
contohnya setiap 5% daripada setiap pembelian akan didermakan kepada anak-anak
yatim dan banyak lagi cara dan ruang untuk anda menyeru pelanggan untuk berbuat
baik dan menjadi lebih baik.  Fikirkan
satu konsep kebaikan yang sesuai dengan syarikat anda.  

Selain itu, anda
juga perlu mementingkan nilai estetika kerana sememangnya lumrah manusia
gemarkan benda-benda yang cantik sahaja. Jarang sekali kita lihat pembeli
memilih produk yang hodoh berbanding produk yang cantik.

Pengasas
syarikat Apple juga amat mementingkan kecantikan dan menghabiskan masa
berjam-jam untuk memastikan kemasan produk ciptaannya tampak cantik untuk diguna
selain fungsinya yang hebat.

Perkara yang
sama juga harus anda lakukan kepada produk anda atau jika anda menawarkan
servis, pastikan tempat bisnes anda beroperasi nampak cantik dan kemas. Walaupun
bisnes anda adalah bengkel baiki kereta dan motor sekalipun, tidak salah untuk
sediakan ruangan yang kemas dan cantik untuk pelanggan menunggu semasa
kenderaan mereka dibaiki.

Sumber Rujukan:

https://medium.com/the-mission/learn-buyer-psychology-66b969578b2b





Source link