4 Tip Bagaimana Untuk Cipta Peluang Dalam Hidup 1

1-Cipta Minda Optimis

4 Tip Bagaimana Untuk Cipta Peluang Dalam Hidup 2

Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman: Aku selalu mengikuti sangkaan hambaKu, dan Aku selalu menyertai dia di mana ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih senang menerima taubat hambaNya dari seorang yang mendapat kembali barangnya yang hilang. Dan barangsiapa yang mendekat kepadaku sejengkal, aku mendekat kepadanya sehasta. Dan siapa yang mendekat kepadaku sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan bila ia datang kepadaku berjalan, Aku datang kepadanya dengan berjalan cepat (HR. Bukhari dan Muslim)

Dalam Islam sendiri, Allah S.W.T telah pun berpesan, sangkaan Allah kepada kita adalah berdasarkan sangkaan kita sendiri kepada Allah. Jika kita sering memandang baik kepada Allah atas perkara-perkara yang berlaku kepada kita, maka Allah juga ingin sekali mendatangkan perkara-perkara yang baik untuk kita dalam keadaan secara lansung ataupun tidak langsung.

Sebagai manusia, kita sering mencari sesuatu. Kita mencari kekayaan, kita mencari kebahagiaan, kita mencari populariti, kita mencari peluang kejayaan dan sebagainya. Setiap daripada kita pasti sedang mencari sesuatu dalam hidup kerana kita tidak betah berada di posisi yang sama lama-lama. Kita mahu maju bukan mundur.

Namun, disebalik kesibukan kita mencapai ‘sesuatu’, janganlah terlalu mendesak, terlalu memaksa untuk mendapatnya. Jangan disebabkan belum mencapai ‘sesuatu’, perkara lain kita abaikan. Sedarkah kita, ‘sesuatu’ yang kita kejar itu hanya untuk nikmat dunia yang sementara. Nampak manis kalau berjaya mendapatnya akan tetapi itu tidak akan kekal lama.

Jadi, tanamkan rasa cukup dan syukur dalam diri kita. Jika kita tidak mampu bersyukur dengan yang sedikit, bagaimana kita mampu untuk bersyukur dengan yang banyak. Jika sekarang kita sibuk, lalai dalam beribadat, bagaimana bila kita dah berjaya mendapat ‘sesuatu’ nanti? Bukankah lebih sibuk? Pastikah akan ada lebih banyak untuk beribadah? Mana lagi patut diutamakan? Sesuatu yang kita mahu atau sesuatu yang Allah s.w.t mahukan?

Rasullullah s.a.w pernah bersabda, “Anak Adam jika diberikan satu lembah/ gunung emas, pasti itu juga masih belum cukup.” Lihat, kita mungkin tidak perasan akan tetapi kita mudah tertewas dengan nafsu. Malah, terkadang masih tidak dapat mengawal diri daripada membazir untuk kehendak, bukan keperluan. Kita harus bebas daripada perasaan negatif. Jangan terlalu memikirkan perkara yang tiada. Fokus kepada perkara yang anda dan bersyukurlah seadanya.

Bangun pagi setiap hari dengan rasa penuh syukur dengan nikmat yang Allah telah beri. Jangan beri ruang untuk rasa cemas, takut, risau dan sifat negatif lain untuk perkara yang belum tentu pasti. Sentiasa bersyukur dan berkongsi rezeki yang ada. Berusahalah dan berpada-padalah agar tidak terlepas ‘SESUATU’ semasa mencari sesuatu yang lain.

2-Lapangkan Minda & Jadual

4 Tip Bagaimana Untuk Cipta Peluang Dalam Hidup 3

Dalam mengejar sesuatu, jangan terlalu sibuk hingga kita lupa untuk menikmati hidup. Percayakah anda yang anda boleh terlepas peluang yang sangat hebat jika anda terlalu sibuk dan tidak fokus kepada diri anda sendiri? Sebab itu kita pernah dengar, ada orang yang terlalu sibuk sehingga mengabaikan keluarga, mengabaikan gaya hidup sihat dan banyak lagi.

Dalam persaingan, pastikan kita tidak memakan diri. Utamakan apa yang penting dalam hidup barulah berniaga sepenuh hati. Jangan sampai anda hilang identiti sendiri dek terlalu sibuk dan penat mengusahakan bisnes. Ambil masa sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk berehat secara bersendirian dan juga bersama keluarga.

Waktu bersendiri adalah waktu terbaik untuk bermuhasabah diri, merenung kesalahan, bertaubat, berfikir, kembali kepada matlamat asal yang mungkin tersasar dan bermula semula dari titik asal. Dengan fikiran yang tenang, anda dapat menyusun kembali perancangan bisnes atau hidup dengan baik dan lebih lancar.

3-Terima Kasih!

4 Tip Bagaimana Untuk Cipta Peluang Dalam Hidup 4

Semua orang suka pada mereka yang merendah diri. Jadi, sentiasalah berterima kasih kepada mereka yang berada disekeliling anda kerana tanpa anda sedar, mereka antara faktor anda menjadi siapa anda sekarang dan siapa anda akan jadi pada masa depan. Sama ada dalam cara yang baik atau buruk, itu semua adalah ramuan wajib kejayaan seseorang.

Dalam setiap kejayaan anda, berikan kredit kepada mereka yang pernah ada dengan anda sewaktu kesusahan, terutamanya Ibu bapa, ahli keluarga dan lain-lain dan yang terutama sekali, Allah s.w.t. Bukan sahaja manusia suka akan sifat orang yang tahu berterima kasih bahkan Allah s.w.t. sudah tentu amat menyukai hamba-hambanya yang tahu berterima kasih.

Cara anda menghargai orang lain akan buatkan anda juga dihargai dan sudah pasti lebih ramai orang lain suka untuk mengenali dan kekal berhubungan dengan anda. Bukankah ini akan menambahkan peluang bisnes untuk datang kepada anda? Perbuatan yang kecil tetapi baik sifatnya pasti akan dikenang orang begitu juga sebaliknya.

4- Tingkatkan Rasa Curiga & Banyakkan Bertanya

4 Tip Bagaimana Untuk Cipta Peluang Dalam Hidup 5

Masa kita kecil-kecil dahulu, kita curiga dengan banyak perkara. Disebabkan rasa curiga kita, kita banyak bertanya. Kenapa ya? Kerana kita penuh dengan sifat ingin tahu dan kita mahu menambah pengetahuan dan eksplorasi. Tetapi, sifat yang bagus ini semakin menghilang apabila kita makin dewasa.

Kita jadi semakin tertutup dan ambil tahu apa yang kita mahu sahaja. Secara tidak lansung kita tertutup dengan perkara-perkara atau pelaung yang baharu hanya kerana kita tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu.

Kembalilah menjadi kanak-kanak dengan mengamalkan sikap yang satu ini. Sentiasa rasa curiga dengan perkara baharu dan bertanyalah pada yang tahu. Mana tahu, peluang keemasan anda sebenarnya bukanlah yang anda tahu dan idamkan selama ini sebaliknya sesuatu yang baharu yang tidak disangka-sangka akan tetapi besar manfaatnya. Belum cuba belum tahu!

Sumber Rujukan:

Penulis: Nadia Nazri





Source link