Apa Amalan Ringkas Usahawan Boleh Lakukan Untuk Kaut Pahala Ramadhan Berganda? 1

#1-Perbanyakkan Sedekah

Apa Amalan Ringkas Usahawan Boleh Lakukan Untuk Kaut Pahala Ramadhan Berganda? 2

Memang umum mengetahui sedekah adalah amalan ibadah yang sangat dianjurkan oleh agama kita Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

Hatta walau hanya sedekah RM 0.10 pun, jika ikhlas pasti Allah s.w.t akan membalas. Sebagai usahawan, gunakan kesempatan Ramadhan ini untuk memperbanyakkan saham akhirat. Jika ditelusuri sirah, ramai golongan usahawan merupakan sahabat-sahabat nabi bersikap dermawan malah banyak harta mereka dihabiskan bagi tujuan infak bukan untuk bersenang-lenang.

Gunakan kesempatan Ramadhan untuk bersedekah secara konsisten setiap hari walaupun dengan jumlah yang sedikit. Sedekahlah kepada masjid, orang miskin, orang uzur dan kanak-kanak yang memerlukan.

#2-Sedekahkan Produk/Perkhidmatan

Apa Amalan Ringkas Usahawan Boleh Lakukan Untuk Kaut Pahala Ramadhan Berganda? 3

Kalau anda benar-benar tiada duit, tidak mengapa, akan tetapi jangan pula tidak bersedekah langsung. Bersedekah bukanlah semata-mata dengan duit sahaja. Berikut adalah antara perkara yang anda boleh lakukan atau berikan dengan niat bersedekah:

  • Cuci telekung masjid
  • Sedekahkan telekung atau al-quran
  • Cuci atau bersihkan karpet masjid
  • Cuci kawasan dalam dan sekitar masjid
  • Sedekahkan kurma/kuih-muih semasa berbuka atau moreh
  • Jika anda menjual makanan, lebihkan masakan dan sedekahkan kepada masjid, rumah anak yatim, gelandangan dan sebagainya.
  • Sedekah kuih raya, pakaian raya kepada yang memerlukan

Jika anda mempunyai banyak lebihan produk lain, walaupun produk itu bukanlah berbentuk makanan atau perkhidmatan, anda boleh menyedekahkan produk anda bagi tujuan penajaan atau mereka boleh jualkan dan ambil duit daripada jualan tersebut bagi keperluan program dan sebagainya.

Penulis perhatikan, ramai usahawan kurang gemar untuk menaja barangan atau wang kepada program-program universiti misalnya apatah lagi jika bukan dalam bulan puasa. Kenapa ya? Adakah jika menaja barangan dirasakan seperti satu kerugian?

Tidak sebenarnya, selain daripada menaikkan jenama produk atau nama syarikat, jika anda memberikan tajaan apatah lagi dalam bulan puasa dengan niat yang ikhlas, bukan mahukan sesuatu pulangan semata-mata, tambah-tambah lagi untuk keperluan pelajar yang sememangnya Allah pandang tinggi darjat mereka dalam menuntut ilmu, pasti infak anda akan diterima.

Allah s.w.t dah janji, jika kita memudahkan urusan orang lain, Allah s.w.t akan mempermudahkan urusan kita pula. Pasti akan ada apa sahaja milik anda yang boleh disedekahkan selain wang. Bersedekahlah kerana sesungguhnya dalam bahagian harta kita, pasti terkandung bahagian hak harta orang lain.

#3-Buat Jamuan Iftar

Apa Amalan Ringkas Usahawan Boleh Lakukan Untuk Kaut Pahala Ramadhan Berganda? 4

Jika kita selalu dengar orang buat jamuan terbuka hari Raya sehingga sebulan, kenapa tidak buat perkara yang sama tetapi dalam bulan puasa kerana pahalanya lebih berlipat kali ganda. Anda boleh masak atau beli makanan yang sudah sedia dimakan sebagai hidangan. Jemputlah saudara-mara atau sahabat terdekat serta jiran tetangga. Tidak perlu sampai penuh satu rumah. Satu hidangan talam sahaja untuk beberapa tetamu sudah cukup.

Sebenarnya dalam bersedekah ada tangga keutamaanya contohnya haruslah diberikan kepada ahli keluarga dahulu seperti ibu-bapa contohnya, diikuti dengan saudara-mara terdekat, jiran tetangga serta asnaf. Jadi, untuk ramadhan kali ini, bersedekahlah lebih daripada kebiasaanya.

Jika dilihat pada mata kasar mungkin seperti satu kerugian kerana jumlah pahala bukanlah sesuatu yang boleh diukur akan tetapi jika kita percaya kepada janji Allah s.w.t dan mahu menjadi seorang usahawan dan hamba yang terbaik, maka berinfaklah dan bertawakkallah seperti burung yang percaya rezekinya memang datang daripada Allah s.w.t bukannya dari keuntungan perniagaan semata-mata. Betulkan niat, tingkatkan iman, banyakkan bersedekah semasa masih sihat dan mampu.

Ramai agamawan berkata, sikap kikir dan tidak mahu bersedekah adalah punya kepada banyak penyakit kritikal zaman sekarang kerana kita terlalu memikirkan wang sepanjang masa. Cuba renung kembali, mungkin juga banyak masalah dan ujian yang menimpa kita juga berpunca kerana sika kita yang kedekut ini.

Logiknya, kalau kita berkira dengan orang, takkanlah kita mahu Allah pula memberikan segala yang kita mahukan tanpa berkira-kira? Tidak logik bukan? Semoga Ramadhan kali ini, anda akan menjadi usahawan yang lebih dermawan. Selamat Bersedekah!

Sumber Rujukan:

https://www.hmetro.com.my/addin/2018/12/402581/ganjaran-sedekah-700-kali-ganda

Penulis: Nadia Nazri





Source link