KEINGINAN UNTUK BERHENTI JADI MISKIN BUATKAN ALHA ALFA BERJAYA 1

Penulis: Nadia Nazri

Nama Alha Alfa pasti tidak asing lagi buat anda yang gemarkan dunia hiburan dan kosmetik. Pada usia 30-an, Dato’ Alha berjaya membina legasinya sendiri dan menempa nama dalam kalangan artis-artis popular. Beliau bukan sahaja masyhur kerana kemahirannya dalam solekan akan tetapi kini telah berjaya mengeluarkan produk kosmetik sendiri yang setaraf dengan jenama antarabangsa. Ikuti kisah kejayaan beliau.

Bacaan Selanjutnya.

 

#1-Profil Dato’ Alha Alfa

KEINGINAN UNTUK BERHENTI JADI MISKIN BUATKAN ALHA ALFA BERJAYA 2

Nama sebenarnya adalah Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil dan nama popularnya Alha Alfa diambil daripada singkatan nama penuh beliau. Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Bina dari UiTM Shah Alam, pemuda yang berusia 31 tahun ini merupakan antara usahawan yang berjaya dalam bidang kosmetik masa kini. Sebelum berjaya mengasaskan produk sendiri, anak kelahiran Kuala Lumpur ini telah melakukan pelbagai pekerjaan untuk membolehkan beliau membantu keluarganya yang miskin. Ayahnya merupakan seorng tukang kebun manakala ibunya merupakan seorang pengasuh. Pendapatan kasar keluarga yang hanya sekitar RM 1000 setiap bulan tidak cukup untuk menampung seisi keluarga dengan selesa. Menurut beliau, banyak perkara yang beliau idamkan tidak dapat dimiliki kerana keluarganya miskin. Namun kerana keinginan untuk memiliki apa yang kawan-kawannya ada ketika itu, Dato’ Alha berusaha untuk mencari duit.

 

Setelah tamat SPM, beliau mencari wang dengan mengambil upah mengecat rumah dengan harga yang murah. Beliau juga pernah bekerja di restoran Pizza Hut selama beberapa bulan. Dengan keputusan SPM yang sederhana, Dato’Alha masih memasang impian untuk menyarung jubah konvokesyen dan memiliki segulung ijazah. Namun, menyedari yang keadaan ekonomi keluarga tidak mengizinkan, Dato’ Alha menangguh hasratnya itu walaupun telah mendapat tawaran untuk belajar di UiTM Perak. Namun begitu, hasrat itu berjaya ditunaikan apabila ibunya sendiri menggadaikan barangan kemas yang dimiliki daripada perkahwinan bersama ayahnya. Saat mengetahui pengorbanan ibunya, Dato’ Alfa berasa amat terharu dan menanam impian untuk membalas jasa ibunya pada suatu hari nanti. Dengan wang hasil gadaian dicampur dengan gajinya semasa bekerja sambilan, beliau melanjutkan pelajaran pada peringkat diploma di UiTM Perak.

 

Semasa semester ketiga, beliau hampir berputus asa dan ingin berhenti belajar dek kerana jurusan rekaan dalaman yang diambilnya membutuhkan penggunaan wang yang banyak. Duit yang ada pemberian ibu bapanya hanyalah untuk cukup-cukup makan sahaja manakan cukup untuk membeli peralatan yang banyak bagi melaksanakan tugasan kuliahnya. Alha juga berasa takut untuk meminta wang yang lebih daripada ayahnya kerana maklum situasi keluarga yang kurang berada. Namun, Allah telah melorongkan jalan penyelesaian yang mana pada suatu hari, jurusolek kepada model kawannya yang mengambil jurusan fotografi tidak dapat hadir. Oleh kerana, ada ramai model yang perlu disolek sebelum penggambaran bermula, Alha menawarkan diri untuk cuba membantu kawannya. Pada awalnya, dia ditertawakan namun hasil solekannya menjadi dan fotografi yang diambil memikat hati pensyarah. Soalan pertama yang ditanya adalah, “Siapa tukang soleknya?”. Dari sini, karier sebagai tukang solek sambilan bermula dan khidmatnya menjadi pilihan para pelajar dan produksi universiti.

 

#2-Siri Kejayaan Dato’ Alfa Bermula

KEINGINAN UNTUK BERHENTI JADI MISKIN BUATKAN ALHA ALFA BERJAYA 3

Bermula daripada niat untuk membantu kawan, beliau berjaya mendapatkan pekerjaan sambilan yang dia sendiri tidak pernah duga. Menjadi lelaki tukang solek bukanlah satu perkara yang senang untuk diterima oleh masyarakat apatah lagi ibu dan ayahnya. Jadi pada permulaannya, dia melakukannya secara senyap-senyap. Kesibukan menjadi jurumekap bukanlah alasan untuk mengabaikan pelajaran. Beliau dapat mengatur jadualnya dengan baik dan menyeimbangkan antara pelajaran dan kerjaya. Beliau tersenarai sebagai penerima Anugerah Dekan selama beberapa semester berturut-turut. Sebaik sahaja tamat pengajian diploma, beliau menyambung pelajaran di peringkat ijazah di Shah Alam.

 

Nasib menyebelahi beliau apabila beliau mula mendapat tawaran untuk menjadi jurumekap bagi produksi drama. Beliau mula berkenalan dengan selebriti popular tanah air. Artis pertama yang beliau solek adalah Jihan Musa. Mengimbau pertama kali menyolek Jihan membuatkan Alfa tertawa sendiri. Manakan tidak, pada masa itu, beliau harus menyolek Jihan untuk menjadi hantu. Untuk menghasilkan ‘special effect’ itu, selalunya menggunakan alatan yang agak mahal, namun oleh kerana kekangan wang. Alha terpaksa menjadi kreatif dan hanya menggunakan ‘watercolor buncho’ dan tisu sahaja. Walaupun solekannya menjadi namun solekan daripada bahan tersebut menjadikan muka pelawak tersebut panas. Alha terpaksa memohon maaf dan berterus terang yang bahan itu sahaja yang mampu dia gunakan pada waktu itu. Beliau bersyukur kerana Jihan memahami situasinya. Ini merupakan titik permulaannya dalam mengorak langkah lebih panjang dalam dunia hiburan. Hasil kerjanya yang memuaskan dan berkualiti membolehkan beliau membina aset kekayaannya yang tersendiri. Sehingga kini, Alha mempunyai kira-kira lebih daripada 1,000 pelajar yang ingin belajar teknik solekan yang cantik.

 

#3-Keluar Dari Zon Selesa Untuk Terbang Lebih Tinggi

KEINGINAN UNTUK BERHENTI JADI MISKIN BUATKAN ALHA ALFA BERJAYA 4

Sekitar tahun 2016, Dato’ Alha telah memperkenalkan produk kosmetik dengan menggunakan rumusan formulanya sendiri. Kini, dia bukan sahaja merupakan jurumekap yang terkenal malah bergelar usahawan. Beliau mahu menjadikan kosmetiknya sebagai produk nombor 1 dalam negara dan mahu menjadikannya setanding dengan jenama popular dunia. Beliau cukup memahami keperluan wanita dan mahu membantu mereka menjadi cantik. Bahan yang digunakan dalam kosmetiknya bersifat organik dan mendapat kelulusan KKM. Kejayaan beliau terlakar dengan manisnya apabila setelah dua tahun produknya berada dalam pasaran, beliau berjaya menjadi penaja utama Anugerah Bintang Popular tahun lalu. Malahan, ramai selebriti tempatan telah mula menggunakan jenama produknya menggantikan jenama terkenal yang mereka pernah pakai dalam rutin harian mekap. Kini, Dato’ Alfa bukan sahaja bergelar usahawan, mentor, jurumekap yang menawarkan perkhidmatan dan produk kepada orang ramai, malahan, beliau turut membantu orang lain untuk mula bergelar usahawan dengan menjadi ejen jualan kosmetiknya. Walaupun sudah menjana pendapatan yang mewah, Dato’ Alha tidak betah duduk diam dan sentiasa mencari jalan untuk mengembangkan empayar kosmetiknya. Baginya, sesiapa sahaja boleh berjaya jika fokus kepada minat dan sentiasa berniat untuk melakukan sesuatu bagi membantu keluarga. Jasa ibu dan ayah jangan sesekali dilupakan. Semoga Dato’ Alha akan terus berjaya dan mendorong kejayaan orang lain pula.

 

Sumber Rujukan:

https://ohbulan.com/dari-tukang-cat-ke-makeup-artist-ini-kisah-penuh-inspirasi-alha-alfa-yang-pasti-buat-anda-kagum/

https://iluminasi.com/bm/biodata-alha-alfa-pengasas-kosmetik-dan-jurusolek-artis.html

https://www.mediahiburan.my/kena-dok-area-longkang-longkang-tu-alha-alfa-throwback-kisah-dengan-jihan-muse-sampai-kena-gigit-hantu/

https://www.yoy.my/dulu-ayah-tukang-kebun-alha-alfa-kongsi-kisah-hidup-sebelum-kaya-dan-berjaya/

 

 

 





Source link